MIRI, 7 Mei- Projek-projek perhubungan dan infra di Sarawak membabitkan Jalan Pan Borneo, Jalan Pesisir, naik taraf Jalan Balak, Sabah Sarawak Link Road (SSLR) terus diberi keutamaan Kerajaan Persekutuan.
Ini ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof dalam ucapan beliau semasa merasmikan Peng Lamei Ledoh, Persatuan Kayan Sarawak (PKS), di sini.
Dato Sri Fadillah menyatakan bahawa Jalan Pan Borneo yang tergendala sebelum ini kini dalam proses pemulihan.
Manakala, fasa kedua Miri The Missing Link ke Limbang dan seterusnya ke Lawas melalui Brunei Darussalam akan dilaksanakan juga pada penggal ini.
Beliau menambah bahawa SSLR Fasa Pertama telah bermula daripada Lawas hingga ke Pa’ Brunut serta kini Fasa Kedua dan Fasa Ketiga juga sudah diluluskan untuk proses penilaian pengurusan dan seterusnya untuk proses tender.
Jelas beliau, SSLR ini akan terus menghubungkan sehingga Miri tanpa melalui Brunei.
Dalam pada itu, beliau yang diamanahkan membantu Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi akan terus memastikan segala perancangan infra di Sarawak dapat dilaksanakan secepat mungkin.
(Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof)
Malah beliau percaya projek-projek infra ini dapat dilaksanakan dengan cepat dengan wujudnya Lembaga Pembangunan Wilayah Sarawak walaupun berdepan cabaran-cabaran dalam pembinaan.
Mengulas berkaitan majlis Peng Lamei Ledoh Persatuan Kayan Sarawak, Dato Sri Fadillah berharap kesatupaduan pelbagai suku kaum dan etnik di Miri hendaklah terus dikekal dan diperkasakan.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran RM50,000 kepada PKS sebelum menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas-bekas Ketua Ketua Masyarakat Kayan Dari Belaga, Tubau dan Baram.