KOTA BHARU, 29 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan mengesahkan telah menerima laporan mengenai penemuan bangkai seekor harimau belang di Sungai Dabong, Kuala Krai, pada Jumaat.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata bangkai haiwan liar itu ditemukan penduduk kampung ketika melalui kawasan sungai berkenaan.
Beliau berkata penduduk kampung memaklumkan perkara itu dan sepasukan renjer telah dikerahkan ke lokasi itu untuk menyiasat.
“Bangkai harimau belang itu kemudiannya dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara di Sungkai, Perak untuk dibedah siasat,” katanya kepada Bernama.
Mohamad Hafid berkata prosedur bedah siasat adalah untuk merungkai punca kematian haiwan liar berkenaan.
“Keputusan bedah siasat haiwan liar itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.-BERNAMA