fb fb fb fb fb

Dr Syed Husin Ali meninggal dunia

FOTO FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 29 Jun- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah atas pemergian Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Dr Syed Husin Ali.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan menerima perkhabaran sedih itu awal pagi tadi.

Fahmi memaklumkan beliau berkesempatan menziarah Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lepas dan Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua lalu.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang banyak berjasa kepada parti dan rakyat; dan telah menerbitkan banyak buku termasuk “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara” yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan bawah ISA serta “Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN”.

Jelasnya, Allahyarham seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden KEADILAN, Presiden Parti Rakyat Malaysia, dan Profesor di Universiti Malaya.

Menerusi hantaran itu juga, Fahmi memaklumkan pernah membantu kempen Allahyarham pada PRU 2004 sewaktu beliau bertanding di PJ Selatan.

Allahyarham seorang yang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada beliau.

Beliau berharap semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang beriman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE