
JOHOR BAHRU, 2 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa syukur selepas dua hari menikmati lawatan santai bersama keluarga di Johor sambil menyelami khazanah sejarah dan budaya negeri selatan tanah air itu.
- Perdana Menteri pulang ke Kuala Lumpur menaiki ETS dari JB Sentral selepas lawatan santai dua hari di Johor bersama keluarga.
- Beliau berinteraksi dengan pengunjung dan kakitangan stesen serta bergambar semasa keberangkatan.
- Lawatan termasuk ziarah ke Zoo Johor dan Muzium Diraja Abu Bakar, serta pujian terhadap usaha naik taraf warisan dan tarikan pelancongan.
“Alhamdulillah Johor, (selesai) melawat,” katanya ringkas ketika ditemui Bernama sebelum berlepas pulang dari Stesen JB Sentral ke Kuala Lumpur.
Turut menemani beliau isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil diiringi Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Afzar Zakariya.
Perdana Menteri dan keluarga tiba di JB Sentral pada 3.27 petang sebelum dijadualkan menaiki perkhidmatan ETS pada 4 petang.
Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa berbual serta bergambar bersama pengunjung dan kakitangan di terminal berkenaan.
Beliau tiba di Johor Bahru kira-kira 3.10 petang semalam dengan menggunakan perkhidmatan sama.
Perdana Menteri meluangkan masa melawat Zoo Johor bersama cucu-cucunya, beramah mesra dengan pengunjung dan menerima penerangan mengenai perkembangan semasa premis tersebut.
Beliau turut berharap agar zoo berkenaan terus diperkasakan sebagai aset rekreasi, pendidikan dan warisan negeri yang memberikan manfaat kepada rakyat.
Sebelum itu, Perdana Menteri melawat Muzium Diraja Abu Bakar yang menghimpunkan khazanah diraja serta warisan sejarah dan kebudayaan Kesultanan Johor.
Datuk Seri Anwar dalam hantaran Facebook memuji usaha Kerajaan Negeri Johor atas ikhtiar berterusan dalam menaik taraf aset warisan serta memperhebat tarikan pelancongan negeri sejajar aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026).