fb fb fb fb fb

Perdana Menteri mulakan lawatan rasmi ke Jakarta

JAKARTA, 8 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi dua hari ke Jakarta, Indonesia hari ini.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dijadualkan tiba pada pukul 2.10 petang waktu tempatan.

Acara pertama bakal dihadiri ialah majlis pemeteraian surat hasrat (LOI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) dagangan ekonomi antara dua negara serumpun, melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs).

Ini disusuli majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Indonesia, bertempat di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan ucapan di majlis itu diikuti sesi soal jawab.

Masuk hari kedua esok, jadual padat Perdana Menteri bermula seawal 8.00 pagi termasuk sambutan rasmi oleh Presiden Joko Widodo di Istana Bogor dan acara menanam pokok Merawan di perkarangan istana.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pemimpin Presiden Jokowi akan mengadakan pertemuan khas di beranda Istana Bogor dikenali sebagai Veranda Talk atau Sembang Beranda.

Veranda Talk merupakan suatu tradisi yang diperkenalkan oleh Presiden Jokowi untuk tetamu negara dan mempunyai hubungan rapat dengan Indonesia.

Pada sebelah petang pula, kedua-dua pemimpin akan membuat pernyataan bersama, diikuti jamuan negara.

Datuk Seri Anwar juga dijadual menghadiri syarahan awam bertajuk Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia: Cabaran dan Harapan, di Bank Mega Tower.

Laporan Grace Aisyah Kedayan, Jakarta, Indonesia.

(Perdana Menteri mulakan lawatan rasmi ke Jakarta)

Media Baharu