fb fb fb fb fb

Wanita buat laporan palsu konon disamun

 (Foto fail)

KUCHING, 8 Januari- Gara-gara mahu mengelak daripada membayar denda atas kehilangan kad pengenalan, seorang wanita sanggup membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa samun di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, penahanan wanita berusia 42 tahun itu dilakukan selepas polis mendapati wujud keraguan dalam laporan yang dibuatnya pada kira-kira pukul 12.42 tengah hari, 6 Januari lalu.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat suspek mendakwa disamun dua lelaki bersenjatakan pisau ketika berada di dalam kereta pada pukul 6.50 petang, 5 Januari lalu di Waterfront Kuching.

Ahsmon berkata, akibat kejadian suspek turut mendakwa, mengalami kerugian sebanyak RM2,000 dan kehilangan dokumen penting iaitu kad pengenalan, kad bank serta telefon bimbit.

"Siasatan lanjut mendapati wujud keraguan dalam laporan polis yang dibuat.

"Suspek kemudian mengaku membuat laporan palsu bahawa dirinya disamun bagi mengelakkan daripada membayar denda untuk menggantikan kad pengenalan yang baharu memandangkan ia adalah kali kedua dia kehilangan kad pengenalan," katanya dalam kenyataan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya sepanjang tahun lepas, pihaknya merekodkan sebanyak 13 laporan palsu yang dibuat.

"Pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sehingga memberikan gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di sini," katanya.

(Siaran media IPD Kuching)

Media Baharu