fb fb fb fb fb

Perdana Menteri ketuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-77

(Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui media pada sidang media di New York)

NEW YORK, 21 September- Malaysia akan mengulangi pendirian dalam menentang pencabulan undang-undang antarabangsa serta berpegang teguh pada tujuan dan prinsip yang telah
digariskan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketegasan mengenainya bakal disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan kenyataan negara di Perhimpunan Agung PBB ke-77, pada Jumaat waktu Malaysia.

Krisis perubahan iklim, ancaman terhadap ekonomi global serta isu Palestin, Myanmar dan konflik Ukraine dijangka menjadi fokus.

Penampilan pada Perhimpunan Agung PBB kali ini merupakan yang kedua buat Datuk Seri Ismail Sabri sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Tahun lalu, beliau serta majoriti pemimpin negara lain menyampaikan ucapan secara maya, berikutan pandemik COVID-19.

Datuk Seri Ismail Sabri bakal mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang menyampaikan kenyataan negara menggunakan Bahasa Kebangsaan.

"Oleh kerana dunia masih dalam proses pemulihan daripada COVID-19, tentulah ini merupakan sebahagian daripada perkara yang akan ditekankan oleh beliau. Ini termasuk soal bagaimana kita harus memulihkan ekonomi negara kita dan sebagai warga dunia, penglibatan kita dalam perkara-perkara yang mustahak. Sebahagiannya melibatkan kita juga, seperti inflasi, sekuriti makanan dan sebagainya," kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu sidang media di New York.

“Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait” adalah tema bagi sesi Debat Umum Perhimpunan Agung PBB kali ini.

Menurut pertubuhan dunia itu, 92 Ketua Negara dan 56 Ketua Kerajaan akan menghadirinya.

Manakala 34 negara anggota diwakili di peringkat menteri.

Media Baharu