TAWAU, 11 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini, hari ini.
Perdana Menteri juga dijangka melakukan Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah dan Peluncuran Program Solar MADANI.
Datuk Seri Anwar kemudian akan meluangkan masa meninjau sendiri perkhidmatan disediakan di reruai agensi serta jabatan kerajaan yang menyertai program berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung pada hari terakhir PMR 2025 Sabah hari ini.
Antaranya Seminar Usahawan MADANI Dropship dan Ejen, serta pocket talk Anda Jimat Poket Selamat dan Keselamatan Dalam Talian.
Turut diadakan persembahan kebudayaan oleh Persatuan Etnik Tawau, pertandingan akhir karaoke dan cabutan bertuah untuk pengunjung.
PMR 2025 berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas.