fb fb fb fb fb

Perdana Menteri cadang tiga gerak kerja BN hadapi PRU15

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden UMNO mencadangkan tiga gerak kerja bagi dilakukan Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke 15 (PRU-15) yang akan datang.

Tegasnya Kerajaan Barisan Nasional yang kuat akan mewujudkan kestabilan politik di dalam negara, dan sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau ASEAN.

Jelasnya bagi gerak kerja pertama, Barisan Nasional haruslah mencapai budaya kerja kelas pertama yang ditafsirkan sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.

"Pemimpin dan ahli Barisan Nasional yang setia bukanlah yang ada ketika senang sahaja, namun tetap setia walau dilambung badai setinggi mana pun. Yang berada dalam dewan ini, sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak dari parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran yang menggiurkan.

"Elemen kedua, ingin saya tekankan, Barisan Nasional perlu memenangi hati rakyat. Saya, sebagai Perdana Menteri akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat. Selain itu, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat. Elemen Ketiga; Merangka formula Strategi Kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15. Strategi ini perlu fokus kepada pemantapan jentera Pilihan Raya di antara parti komponen," kata Ismail.

Beliau bercakap semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-48 Barisan Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (WTC) Kuala Lumpur.

Tambahnya ikrar Barisan Nasional juga penting untuk diperbaharui bagi memperkukuh kerjasama antara parti komponen selain perlu menjauhi anasir-anasir luar yang sentiasa menanam bibit perpecahan sesama mereka.

Ikrar Barisan Nasional pada hari ini adalah untuk memenangi PRU-15 dengan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara diteruskan.

 


(Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.- BERNAMA)

Media Baharu