KUALA LUMPUR, 28 Mac- Umat Islam dituntut memperbanyak membaca al-Quran pada setiap Ramadan bagi meningkatkan darjat dan pahala, namun ia tidak harus terhenti kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Facebook beliau menyeru umat Islam untuk mendalami ilmu al-Quran yang sarat dengan mesej akhlak dan kemanusiaan.
"Bahkan memahami mesej al-Quran itu seharusnya lebih ditekankan kerana al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah.
"Ibrah yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongkan khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia (hudan linnas).
"Tiap mauduk perbahasan, tiap kisah dan riwayat, baik kisah pemuda al-Kahfi atau kisah Nabi Allah Yusuf AS, kesemuanya sarat dengan roh perjuangan dan iktibar yang mendalam," katanya dalam hantaran itu.
Anwar juga mengajak semua umat Islam agar memanfaatkan ruang yang ada menekuni kupasan dan tafsir al-Quran.
"Tafsir al-Azhar misalannya, yang dikarang Buya Hamka nyata terulung lantaran kefahaman pengarang akan sosio-budaya masyarakat serantau, kekuatan dan lenggok bahasa yang mantap serta bersandarkan ilmu tradisional yang diolah dengan pengetahuan falsafah dan ilmu moden semasa," katanya.
Beliau menegaskan dengan menghayati al-Quran ia akan mendidik untuk menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana.
"Meski di akhirnya kita hanya berhasil meneguk setitis air dari lautan luas hikmah kebijkasanaan al-Quran, namun Allah SWT tidak pernah memberati hamba-Nya, dan yang demikian itu cukup buat melunasi bahagian penting dari kehidupan kita sebagai manusia dalam bahtera kehidupan ini.
"Moga perdampingan kita dengan al-Quran menjadi penyuluh hidup di dunia dan pembelaan di akhirat kelak. Selamat memperingati peristiwa Nuzul al-Quran," katanya.