fb fb fb fb fb

Peranti perubatan tidak berdaftar dari China bernilai RM300,000 dirampas

(Anggota MDA melakukan serbuan ke atas sebuah syarikat yang mengedar peranti perubatan
tidak berdaftar tanpa lesen di Batu Pahat, Johor)

BATU PAHAT, 14 Jun- Pelbagai peranti perubatan tidak berdaftar dari China bernilai RM300,000 dirampas dalam serbuan di sebuah premis tidak berlesen di sini.

Serbuan itu dilakukan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) pada Selasa menerusi hasil risikan selama enam bulan dan aduan orang ramai.

Ketua Unit Risikan dan Operasi MDA, Derry Akmal Abdul Rahman berkata, pemilik premis itu lelaki tempatan berusia 40-an bersama lima pekerja memberi kerjasama penuh ketika serbuan dijalankan. 

"Antara peranti perubatan yang dirampas adalah kit ujian kehamilan, lancet darah, topeng muka perubatan dan kit peti kecemasan.

"Kita sebenarnya telah lakukan risikan selama enam bulan, sepanjang risikan itu kita dapati bahawa syarikat ini telah menjual peranti berkenaan ke farmasi dan juga klinik di seluruh negara," katanya kepada media selepas serbuan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Peranti Perubatan (Akta 737) kerana mengimport, mengeksport atau meletakkan peranti perubatan di pasaran sebelum didaftarkan.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

(Derry Akmal Abdul Rahman (kanan) ditemui media selepas serbuan
di Batu Pahat, Johor)

Media Baharu