fb fb fb fb fb

Dua beradik maut kereta dirempuh lori tangki

(Keadaan kereta dinaiki mangsa dan lori tangki minyak selepas terbabit kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat/ Foto: PDRM)

KUANTAN, 14 Jun- Dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan-Segamat malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mereka yang maut ialah Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, yang berasal dari Felda Lepar Hilir Satu, Kuantan.

"Kemalangan pada 11 malam itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Tragedi yang berlaku semasa hujan itu menyebabkan kereta yang dipandu Siti Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Wan Mohd Zahari berkata pemandu lori tangki yang berusia 31 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing yang dilakukan adalah negatif. 


(Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu)

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Media Baharu