fb fb fb fb fb

Peranan Malaysia diiktiraf, Datuk Seri Azalina Presiden Sesi Ke-13 IACA

Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto FB Azalina

PUTRAJAYA, 30 Oktober - Malaysia mengalu-alukan kejayaan pemilihan Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) sebagai Presiden Sesi Ke-13 Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) pada 30 Oktober 2024 di Vienna, Austria.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi satu kenyataan berkata, pemilihan itu dimuktamadkan secara sebulat suara dan merupakan satu pencapaian bersejarah memandangkan Malaysia buat julung kalinya diberi penghormatan memegang jawatan tersebut.

"Ini mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah.

"Ia juga menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Azalina dalam reformasi undang-undang dan tadbir urus," menurut kenyataan itu.

IACA yang ditubuhkan pada 2011 di Austria berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi membanteras rasuah serta pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya dari kalangan agensi-agensi pencegahan rasuah.

Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan aktif dalam IACA dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa sebanyak empat kali sebelum ini.

Trainee