(Mohd Akmal menghadiri Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual
dan Majlis Penyerahan Lesen Sempena Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak)
IPOH, 19 Mei - Taska, tadika dan pusat jagaan di Perak akan ditutup sekiranya kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) menunjukkan angka membimbangkan.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata setakat ini belum ada taska, tadika dan pusat jagaan yang ditutup susulan peningkatan kes tersebut.
"Pemantauan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan tempat-tempat yang menjaga kanak-kanak ini sentiasa menjaga kebersihan di premis masing-masing.
"Sampai ke tahap kalau kena tutup kita akan tutup, pihak Jabatan Kesihatan Negeri akan tutup, setakat maklumat yang saya dapat belum ada lagi.
"Kita akan kemas kini dari semasa ke semasa berhubung kes HFMD di Perak. Setakat 30 April terdapat peningkatan hingga 10 kali ganda berbanding tahun lepas," katanya.
(Mohd Akmal pada sidang media di Ipoh hari ini)
Beliau ditemui pada Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual dan Majlis Penyerahan Lesen Sempena Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Akmal turut berharap semua pihak khususnya yang terlibat secara langsung dengan penjagaan kanak-kanak untuk lebih berjaga-jaga bagi mengelak peningkatan kes.