KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu semalam merampas lebih 16,000 liter minyak diesel dan sebuah lori tangki dengan nilai keseluruhan RM83,217.
Pengarah KPDNHEP Negeri, Saharuddin Mohd Kia dalam satu kenyataan berkata rampasan dibuat selepas risikan selama seminggu berjaya membongkar kegiatan pemindahan minyak diesel yang mencurigakan dari pam stesen minyak ke ruang simpanan lori tangki berkenaan.
Modus operandi kegiatan yang diekori pegawai risikan sebelum diserbu adalah dengan membeli minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sehingga memenuhi tangki simpanan lori.
Ketika serbuan, seorang pemandu sebuah lori tangki berusia 30-an sedang leka mengisi minyak ke dalam tangki simpanan lori di sebuah stesen minyak di Wakaf Tapai, Marang.
Pemeriksaan mendapati terdapat sambungan paip yang diubahsuai dipercayai untuk menyalurkan minyak diesel yang telah diiisi dari tangki asal ke ruang simpanan lori.
(Dianggarkan terdapat lebih kurang 16,380 liter minyak diesel
berada di ruang simpanan lori tersebut)
Selain untuk kenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi tersebut, siasatan turut dijalankan sama ada stesen-stesen minyak yang terlibat turut bersubahat dengan kegiatan ini.
Pemandu lori tangki itu ditahan untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sabit kesalahan, boleh didenda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak lebih RM2 juta.