IPOH, 8 Februari- Menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini, kerajaan Perak telah mengemukakan senarai permohonan projek-projek pembangunan bernilai RM3 bilion untuk dimasukkan dalam perbelanjaan persekutuan 2023.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kesemua peruntukan yang dimohon itu membabitkan projek-projek berkepentingan rakyat.
Jelas beliau, antara projek tersebut melibatkan pembinaan semula Jalan Raya Timur Barat, tambahan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan beberapa projek lain.
"Kita utamakan yang berkaitan dengan rakyat, contohnya rungutan orang ramai berkenaan jalan raya rosak, lebuh raya timur barat. Selain itu, berhubung dengan ketidakcukupan katil di
Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Itu adalah antaranya yang kita mohon agar Kementerian Kewangan berikan keutamaan kepada kita sebab selepas COVID-19 melanda, kita perlu bangunkan fasiliti demi kesejahteraan rakyat," kata Saarani kepada pemberita RTM pada majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
(Foto Fail)
Tambah beliau, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan akan turun ke Perak esok bagi mengadakan dialog bajet yang akan dibentang pada 24 Februari depan.
Ujarnya, semua exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijemput untuk mendengar taklimat dan memberikan maklum balas menerusi dialog tersebut.