fb fb fb fb fb

Perak kekal berjaga-jaga hadapi Ribut Tropika Senyar

FOTO HIASAN

IPOH, 28 November - Kerajaan Perak terus meningkatkan langkah berjaga-jaga walaupun negeri itu tidak terjejas teruk susulan Ribut Tropika Senyar yang memasuki ruang udara negara sejak petang Khamis.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pemantauan rapi sedang dijalankan melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri yang beroperasi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, selaras dengan ramalan cuaca dikeluarkan MetMalaysia.

“Walaupun laporan awal menunjukkan Perak tidak mengalami kesan serius, kerajaan negeri mengekalkan kesiapsiagaan dan terus memberikan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di tujuh daerah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sistem Maklumat Ahli Dewan Negeri (eADN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Beliau menambah, pusat pengurusan bencana akan terus memaklumkan situasi terkini kepada pengerusi bencana daerah, manakala pasukan termasuk JKM telah bersiap sedia dengan penyediaan makanan, khemah dan keperluan lain bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Perak dijangka terkesan dengan Ribut Tropika Senyar, terutama di kawasan bersempadan dengan Selangor, dengan ramalan hujan lebat dan angin kencang sehingga esok yang berpotensi menyebabkan kenaikan paras air.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE