fb fb fb fb fb

Penyertaan BN dalam Kerajaan Sabah untuk wujudkan kestabilan politik

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember - Penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Sabah yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah langkah pragmatik bagi memulihkan kestabilan politik susulan kerjasama antara kedua-dua parti itu pada peringkat Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan realiti bilangan kerusi, apabila GRS hanya memperoleh 29 kerusi, sekali gus tidak cukup untuk membentuk kerajaan tanpa sokongan parti lain.

“Kita tahu bahawa GRS sendiri tidak cukup untuk membentuk kerajaan, ketika itu persetujuan melalui perbincangan telah dibuat selepas pilihan raya, suasana dan situasi politik berubah. Mereka harus mengetahui hal ini, " katanya.

Jelas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah perlu dilihat selari dengan perkembangan politik di Putrajaya, yang ketika itu turut membentuk kerajaan perpaduan demi memastikan kestabilan negara.

Beliau menegaskan, atas semangat kestabilan politik, BN bersama GRS mencapai persetujuan awal bagi membentuk kerajaan negeri, sebelum disertai parti-parti lain termasuk wakil-wakil bebas.

“Jika di Putrajaya kita mempunyai kerajaan perpaduan, maka atas semangat kestabilan politik BN bersama GRS mempersetujui memulakan pembentukan kerajaan perpaduan. Inilah hakikat politik, kita tidak boleh jumud, " tambah Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas mengenai pelantikan kepimpinan negeri ketika itu, beliau memberitahu bahawa nama calon telah dikemukakan mengikut permintaan kenamaan tertentu, sebelum pelantikan dan angkat sumpah dibuat mengikut prosedur.

“Nama itu telah dikemukakan dan pelantikan serta angkat sumpah dibuat. Jangan ada keangkuhan politik sangat pragmatik dan mesti diterima untuk menjana kestabilan demi kesejahteraan rakyat Sabah, " tegas beliau.

Menurut beliau, kestabilan politik perlu menjadi keutamaan agar pentadbiran negeri dapat terus memberi manfaat kepada rakyat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI