LABUAN, 3 Disember - Hampir 54 peratus murid tahun enam sekolah rendah di sini berjaya khatam al-Quran pada tahun ini.
Selain itu, Labuan juga mencatat peningkatan ketara dalam penguasaan al-Quran, iaitu 99 peratus murid tahun enam berbanding 79.48 peratus pada tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah, Sektor kurikulum Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Azizan Muhammad, berkata kejayaan itu atas usaha pelaksanaan pelbagai program atau intervensi ke arah generasi Qurani.
Beliau berkata, guru bukan sahaja melahirkan murid cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk insan beradab, berakhlak mulia dan memiliki jati diri kukuh.
"Usaha memastikan penguasaan dan khatam al-Quran dalam kalangan murid memerlukan peranan menyeluruh daripada semua pihak, termasuk guru, pentadbir sekolah serta masyarakat setempat. Kerjasama bersepadu ini amat penting bagi memastikan setiap murid mampu menguasai bacaan dan mengkhatamkan al-Quran dengan baik seperti yang diharapkan, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Gema Al-Quran 2025 bersempena Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah Kementerian Pendidikan peringkat Labuan di Dewan Auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.
Sementara itu, Program Gema Al-Quran dirangka bagi menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, serta memotivasikan anak-anak untuk menguasai bacaan dan seterusnya khatam al-Quran.
Dengan pendekatan itu, generasi Qurani mampu menjadi peneraju masa depan negara yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
