fb fb fb fb fb

Penyediaan kabin, bantu KRT laksana aktiviti setempat - JPNIN

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berhasrat menyediakan kabin untuk pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh negara, tahun depan.

Ia susulan timbul kekangan dihadapi KRT berhubung kawasan tapak dan sewa premis dihadapi dalam melaksanakan operasi komuniti setempat secara lebih berkesan.

Setakat ini, menurut JPNIN, lebih 8,000 KRT seluruh negara bakal mendapat manfaat ini.

Jelas Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Norison Ramli penyediaan kabin itu adalah untuk KRT yang masih belum mempunyai kemudahan premis atau tempat pengurusan operasi sesuai di penempatan komuniti masyarakat mereka.

Usaha berkenaan juga akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak kerajaan negeri serta PBT setempat, terutama dari segi pemilikan tapak tanah premis.

"Baru-baru ini, kita membuat permohonan untuk bina premis-premis KRT yang baharu tetapi kita tiada tanah untuk kita laksanakan. Maka, solusi dari masalah ini adalah kita berpandangan memadai kalau kita boleh bagi satu kabin atau lebih untuk KRT ini. Kita hanya perlu memohon kebenaran untuk menduduki sahaja.

Jika diluluskan bajet untuk kabin ini, Insya-Allah kita akan minta supaya KRT seluruh negara ada premis untuk mengadakan aktiviti dan bermesyuarat," kata Norison kepada pemberita RTM selepas menyempurnakan Majlis Program Jalinan Muafakat Keluarga Malaysia 2022 dan Sempena Lawatan Kerja Beliau ke Negeri Terengganu di Rumah Komuniti Teratak Desa Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, di sini.


(Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Norison Ramli berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis
Program Jalinan Muafakat Keluarga Malaysia 2022 dan Sempena Lawatan Kerja Beliau ke Negeri Terengganu)

Tambah Norison, nilaian harga sebuah kabin tersebut dianggarkan di antara RM80,000 hingga RM100,000 lengkap dengan segala peralatan diperlukan termasuk perabot dan penyaman udara.

Terdahulu, Norison turut berkesempatan meninjau dan menyaksikan aktiviti seperti pertandingan memancing ikan darat melibatkan penyertaan kaum wanita, demonstrasi masakan kuih tradisional, teknik menganyam tikar, songket, wau dan sukan rakyat bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 anjuran KRT Kampung Gong Baru.

 

Media Baharu