fb fb fb fb fb

Penyedia dana modal teroka perlu bekerjasama perkukuh ekosistem pembiayaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang ke-2 bagi tahun 2023 / Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 15 Disember - Penyedia dan pengurus dana modal teroka perlu bekerjasama bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dan ekosistem inovasi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kolaborasi tertumpu kepada usaha mengenal pasti inisiatif memperkukuh ekosistem pembiayaan modal teroka untuk dipertimbang kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Anwar ketika mempengerusikan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) kali kedua 2023.

"Mesyuarat bersetuju dengan cadangan Pelan Tindakan KL20 yang menyasarkan Malaysia berada pada kedudukan 20 teratas ekosistem syarikat pemula Global pada tahun 2030.

"Pelan ini turut menggariskan usaha membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau," katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook beliau.

Anwar berkata fokus mesyuarat juga terarah kepada kedudukan ekosistem pembiayaan modal teroka yang merangkumi pembiayaan daripada sektor awam dan swasta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN