fb fb fb fb fb

Perdana Menteri kekal daripada kaum Melayu- PM Anwar

Datuk Seri Anwar bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini/ FB Anwar Ibrahim

BANGI, 15 Disember- Tiada keperluan pinda Perlembagaan Persekutuan supaya hanya orang Melayu saja boleh menjadi Perdana Menteri.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peluang kaum Melayu untuk dilantik jadi Ketua Kerajaan tidak pernah terjejas dan terancam kerana hak orang Melayu dan Bumiputera dilindungi Perlembagaan.

Untuk itu, beliau menegaskan, calon Perdana Menteri selepas ini akan kekal daripada kaum Melayu.

"Setakat ini tidak ada keperluan, tidak ada permohonan serius dan tidak ada perbincangan sejak merdeka sampai sekarang.

“Lepas ini calon dari kerajaan pun Melayu, calon dari pembangkang pun Melayu.Jadi terus maju, hak rakyat terpelihara dan jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua wilayah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Anwar mengulas cadangan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Cadangan itu susulan kandungan penulisan veteran politik DAP Tan Sri Lim Kit Siang yang dimuat naik di blog limkitsiang.com pada 30 November lepas bertajuk Perlembagaan Malaysia menjanjikan Impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan Perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi seorang Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pembangkang agar tidak memainkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum sehingga menimbulkan perbalahan.

Ujarnya, fokus harus tertumpu kepada usaha bantu kerajaan mencari kaeadah memperkasa ekonomi negara dan ringankan beban rakyat.

“Sudah tentu Perlembagaan Persekutuan ada peraturan, dan ini bukan isu, dan sekarang ini tidak pernah menjadi isu, jadi jangan kita rumitkan keadaan.

“Dan begitu juga yang diuar-uarkan oleh pembangkang soal persempadanan semula. Perkara ini tidak berbangkit pun. Dia cuma nak laga-lagakan, nak bagi orang lagi marah,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI