fb fb fb fb fb

Penutupan akses laman web tidak libatkan organisasi media - Fahmi

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Penutupan akses laman web tidak melibatkan organisasi media.

Ia sebaliknya tertumpu kepada kandungan yang jelas melanggar undang-undang seperti perjudian dan pornografi, selaras dengan dasar kerajaan yang menjunjung kebebasan media.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah sekatan akses adalah tindakan terakhir dan dilaksanakan secara teliti di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, tanpa menyasarkan portal berita atau organisasi media dalam talian.

“Jarang sekali berlaku kecuali untuk beberapa 'website' (laman web) tertentu, maka boleh ditutup akses kepada 'website' itu.

"Waktu ini hampir semua laman web yang diarah tutup aksesnya berkait dengan judi, pornografi dan perkara-perkara yang melanggar undang-undang di dalam negara tapi bukannya melibatkan aspek media setakat ini. Ini dasar kerajaan," katanya di Dewan Negara di sini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator, Datuk Ahmad Ibrahim berhubung pendirian kerajaan dalam memastikan kebebasan media, khususnya melibatkan portal media luar negara agar tidak disalahgunakan untuk menyebarkan laporan tidak berfakta atau mengelirukan serta mekanisme respons pantas sekiranya berlaku.

Datuk Fahmi berkata kerajaan tidak mengenakan pelesenan atau kawal selia terhadap media dalam talian sama ada di dalam atau luar negara, selaras dengan prinsip memastikan ruang kebebasan bersuara dan kebebasan media terus terpelihara dalam ekosistem digital.

Bagaimanapun, tindakan boleh diambil sekiranya kandungan yang disiarkan didapati menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan telekomunikasi di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM