fb fb fb fb fb

Penuntut universiti hilang mandi di Pantai Cherating

KUANTAN, 7 Januari- Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dikuatiri lemas di Pantai Cherating, Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18 tahun, sedang melakukan aktiviti air di pantai berkenaan bersama rakan-rakannya.

Menurut beliau, Balai Polis Cherating menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 1.45 petang tadi.

Siasatan awal mendapati mangsa bersama 19 lagi rakannya ke lokasi pelancongan itu untuk berkelah dan berehat.

Bagaimanapun, ketika melakukan aktiviti di dalam air, ombak tinggi melanda dan menyebabkan mereka berpecah.

Manakala mangsa kelihatan berada di kawasan yang lebih dalam, sebelum hilang daripada pandangan rakan-rakannya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dibantu Pasukan Penyelamat di Air dari BBP Kuantan, dikerah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

(Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng)

Media Baharu