KULAI, 11 Januari- Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang warga Bangladesh di Kilometer 21.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) pada pukul 11.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Tan Seng Lee dalam kenyataan berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki warga asing berusia 26 tahun itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang di bahagian kiri jalan.
Kejadian tersebut menyebabkan motosikal mangsa yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai," menurut kenyataan hari ini.
Lee menambah kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.