
KUALA LUMPUR, 7 April – Kerajaan terus komited memperkukuh sektor air negara melalui pendekatan inovatif dan mampan menerusi pelancaran Hab Inkubator Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN.
- Selaras Aspirasi Transformasi Sektor Air 2040 di bawah RMK-13 sebagai agenda strategik memperkukuh sektor air negara.
- Menjadi platform strategik memacu pembangunan teknologi, model perniagaan efisien dan menangani masalah Air Tidak Berhasil (NRW).
- Kerjasama Memorandum Persefahaman dengan Belanda menggabungkan teknologi maju dan dasar mampan untuk memperkukuh daya tahan dan akses air bersih.
- Kerajaan menyokong melalui dasar, pembiayaan dan rangka kawal selia; menggalakkan kerjasama awam-swasta bagi transformasi industri air yang mampan.
Ia selaras Aspirasi Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040) yang menjadi antara agenda strategik sektor air negara bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penubuhan hab tersebut menjadi platform strategik dalam memacu pembangunan teknologi baharu serta penyelesaian inovatif dalam industri air negara.
Menurut beliau, inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan air, termasuk menangani isu Air Tidak Berhasil atau NRW yang masih menjadi cabaran utama industri.
Katanya, Hab Inkubator SPAN akan menghimpunkan pemain industri, penyelidik serta syarikat pemula niaga bagi membangunkan teknologi dan model perniagaan yang lebih efisien serta mampan.
“Hari ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh sumber negara serta daya tahan melalui simulasi menerusi Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Belanda dalam pengurusan air , kerjasama ini menggabungkan teknologi maju dengan dasar mampan dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua negara.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan ekosistem air, memperkukuh daya tahan, menyokong pertumbuhan mampan serta memastikan akses kepada air yang bersih, selamat dan boleh dipercayai untuk semua rakyat”. katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Hab Inkubator SPAN bersempena Asiawater 2026 di ibu negara.
Tambah beliau, usaha berkenaan juga mampu menyokong agenda negara dalam memperkukuh keselamatan air serta meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memastikan inovasi yang dibangunkan dapat dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.
Jelasnya lagi, kerajaan akan terus menyediakan sokongan dari segi dasar, pembiayaan dan rangka kerja kawal selia bagi memastikan ekosistem inovasi sektor air terus berkembang.
Pelancaran hab ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi industri air negara ke arah lebih cekap, berdaya tahan dan mampan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Asiawater 2026 yang bertemakan “Kerjasama dan Inovasi untuk Masa Depan Air yang Mampan” berlangsung selama 3 hari bermula hari ini turut menganjurkan Dialog Kawal Selia Serantau.
Dengan menghimpunkan wakil agensi kawal selia dan pakar industri dari beberapa negara bagi membincangkan cabaran semasa serta berkongsi amalan terbaik dalam pengawal seliaan industri perkhidmatan air.