fb fb fb fb fb

Penstrukturan semula MVK, perkasa veteran ATM

KUALA LUMPUR, 29 September- Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) distruktur semula untuk lebih berfokus dan realistik dalam mendepani keperluan isu berkaitan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein optimis pelaksanaan setiap keputusan menerusi MVK akan menghasilkan kesan dan impak yang tepat bagi golongan itu.

"Kita nak lihat agenda veteran yang besar di mana ahlinya 300,000 merangkumi veteran ATM berpencen lebih 100,000, veteran ATM tidak berpencen hampir 80,000 dan di bawah pencen terbitan hampir 30,000 Persatuan Veteran ATM, di peringkat induk, 121 manakala di peringkat cawangan, 381.

Ini jumlah yang terpaksa kita fikirkan secara menyeluruh bila nak membela kedudukan veteran kita," kata Hishammuddin kepada RTM selepas mesyuarat MVK di Wisma Pertahanan, ibu negara.


(Foto Fail)

Mesyuarat MVK yang buat julung kali hari ini turut membincangkan lima perkara yang membabitkan kebajikan Veteran ATM.

Antaranya inisiatif kebajikan bagi Veteran ATM dan ahli keluarga masing-masing, kaedah pemberian bantuan kerajaan, memperhalusi isu berbangkit Jabatan Hal Ehwal Veteran.

MVK turut mencadangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai ahli tetap MVK.

Sementara itu, MINDEF menyelesaikan tiga kajian berkaitan elaun kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM), kenaikan jumlah Bantuan Sara Hidup kepada Veteran ATM B40 dan pelarasan pencen.

Hishammuddin berkata hasil kajian itu dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan.

"Akhirnya bukan diputuskan MINDEF sendirian. Kita perlu sokongan dan kerjasama daripada MOF dan JPA. Saya akan terus berbincang dengan Tengku Zafrul untuk tiga perkara lagi," tambahnya.

Terdahulu, dua kajian dipenuhi dan dilaksanakan iaitu penambahbaikan pencen terbitan serta panel penasihat bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera untuk diiktiraf sebagai Veteran ATM.

Media Baharu