fb fb fb fb fb

Dasar Industri Pertahanan bakal diperkenal dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 29 September- Kementerian Pertahanan (MINDEF) bakal memperkenalkan Dasar Industri Pertahanan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein optimis, dasar baharu itu akan memberi tumpuan untuk merancakkan sektor perindustrian pertahanan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.


(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein)

"Kita akan buktikan bahawa pulangan kepada negara kita bukan sahaja dari segi keselamatan dan pertahanan sahaja tetapi ianya akan membantu memperkukuhkan ekonomi negara.

"Kadang-kala hujah kepada MINDEF (dalam permohonan belanjawan negara) ialah kita tidak bawa pulangan kepada ekonomi. Jumlah peruntukan MINDEF besar tapi tidak bantu meningkatkan prestasi ekonomi negara, sebab itulah saya membuat keputusan bahawa tidak lama lagi kita akan lancar Dasar Industri Pertahanan", katanya kepada media selepas mesyuarat MVK di Wisma Pertahanan, ibu negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembentangan Bajet 2023 minggu depan, Datuk Seri Hishammuddin berharap agar Kementerian Kewangan akan memberi peruntukan sewajarnya kepada MINDEF.

Peruntukan itu harus terus disalurkan kerana negara tidak boleh berkompromi isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara.

Media Baharu