PUTRAJAYA, 7 April- Penjawat awam perlu diberi pendedahan dalam teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan seiring perubahan zaman.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap konsultan luar.
Perubahan zaman dan teknologi menuntut penjawat awam meningkatkan prestasi dan potensi demi pembangunan negara.
"Semasa saya mengambil alih jawatan kali ini saya lihat terlalu banyak ketergantungan kepada konsultan asing dan konsultan luar.
"Jadi saya anjurkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), mari kita lakukan anjakan semula.
"Kalau ada kekurangan kita latih penjawat awam yang muda untuk memberikan mereka kepakaran, kemahiran keterampilan agar dapat memenuhi keperluan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis makan malam mantan KSN dan apresiasi pasukan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di sini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, KSN Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bekas KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dan KPPA Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Anwar berkata kejayaan pelaksanaan SSPA bukti hasil kerja berpasukan dan komitmen untuk membawa perubahan kepada negara.
Perdana Menteri berkata keupayaan dan darjat negara dapat diangkat dengan melaksanakan perubahan dan kaedah baharu.
"Kalau kita merasa yakin untuk bawa dan angkat keupayaan negara ini, kita harus terima kenyataan bahawa kaedah lama tidak mungkin dapat dipertahankan semuanya, tentu sebahagian besar, mungkin kita teruskan.
"Ini kerana tuntutan zaman, tuntutan semasa, perubahan-perubahan teknologi baharu, tenaga baharu itu menuntut kita memiliki cara baharu, melatih cara baharu membawa perubahan-perubahan.
"Bagaimana mungkin ini dapat kita laksanakan tanpa kerjasama yang penuh dengan komitmen daripada penjawat awam," katanya lagi.
Tambahnya, mengekekalkan kaedah dan pelaksanaan lama tidak dapat menyumbang kepada pembangunan diri dan negara.
SSPA mengutamakan prestasi perkhidmatan awam serta kebajikan penjawat awam.
Ia dirangka bagi memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.