TELUK BAHANG, 18 Januari- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disaran untuk membuat penilaian terhadap pihak ketiga, ke arah ekosistem pembangunan yang lebih inklusif dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting dalam memastikan inisiatif yang dirancang mencapai sasaran dengan impak yang optimum.
Beliau yang juga Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penilaian pihak ketiga adalah pendekatan terbaik untuk memastikan keberkesanan setiap program dapat diukur dengan adil dan tepat.
“Dalam kita mencapai hasrat ini, kita mesti memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil benar-benar memenuhi keperluan dan harapan rakyat. Pendekatan kita harus sentiasa relevan dan petunjuk prestasi utama (KPI) harus berpaksikan kesejahteraan rakyat.
“Itulah sebabnya saya mencadangkan agar kita menjalankan penilaian pihak ketiga bagi menilai secara objektif keberkesanan setiap inisiatif yang kita laksanakan sekali gus memastikan setiap program menyentuh golongan sasaran dengan impak yang maksimum,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Pemukiman KKDW bertempat di sebuah hotel di Teluk Bahang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi Perda, Datuk Wira Ir. Dr Shaikh Hussein Mydin.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. dan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd.