fb fb fb fb fb

Kemudahan digital di DUN Kuala Linggi dipertingkat - Exco

Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan

KUALA LINGGI, 18 Januari- Infrastruktur komunikasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Melaka menerima peningkatan ketara menerusi pembinaan satu menara baharu 4G, empat menara baharu 5G dan naik taraf 30 menara 4G sedia ada.

Sebanyak 31 stesen pemancar 4G turut dinaik taraf, di samping pemasangan 3,135 sambungan gentian optik di premis-premis yang telah diselesaikan.

Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan, memaklumkan bahawa usaha itu adalah sebahagian inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meningkatkan capaian dan akses komunikasi di kawasan tersebut.

Selain itu, sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah diwujudkan di Balairaya Bukit Darat, Kuala Linggi dan dijangka diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pada Februari depan.

"Pada 2024, kerajaan Persekutuan meneruskan sembilan pusat NADI baharu di Melaka, salah satu yang diterima ialah di DUN Kuala Linggi termasuk proses, pembinaan dari segi reka bentuk dalaman. Kita akan buat serahan pada bulan ini, kepada JKKK Kampung Bukit Darat.

Kita ada sembilan pusat NADI, satu telah siap manakala lapan lagi akan siap pada Februari ini. Kita berharap tahun ini ada lagi tambahan yang akan diluluskan oleh MCMC," kata Datuk Fairul Nizam kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui ketika menyampaikan kenyataan pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat di DUN Kuala Linggi, di sini.

Inisiatif tersebut diharapkan dapat meluaskan serta memperkukuh rangkaian komunikasi dan akses internet kepada penduduk setempat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM