PUCHONG, 4 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesyaki penglibatan pengusaha stesen minyak bersekongkol dengan sindiket seleweng diesel bersubsidi.
Ia selepas penemuan 63,000 liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM135,000 dalam serbuan pada Rabu, di sebuah gudang di Kampung Sri Aman, di sini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan dijalankan susulan aduan awam dan hasil risikan selama sebulan.
Dalam operasi tersebut, pihaknya turut menemukan beberapa keping resit pembelian minyak diesel secara berulang daripada sebuah stesen minyak sama.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, telah membawa asas tindakan serbuan ini.
"Tiada tangkapan dilakukan semasa serbuan, tindakan sitaan adalah melibatkan dua buat skit tank bersama peralatan lain seperti 3 unit flow meter beserta pump lengkap serta dua unit kompresor dan sebuah kenderaan jenis toyata hilux dan 15 unit ibc tank," katanya ketika ditemui media di lokasi serbuan.
(Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey
(tengah) ketika ditemui media di lokasi serbuan)
Jelasnya lagi, gudang tanpa nama itu lengkap dengan tempat tinggal dan sistem kamera litar tertutup menyebabkan kesemua ahli sindiket sempat melarikan diri semasa serbuan.
KPDN Selangor giat menjalankan 14 serbuan di bawah Op Tiris bermula Januari hingga 2 Mei.