SEREMBAN, 4 Februari - Jumlah pengunjung terlalu ramai sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak Jumaat lalu, menyukarkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan dalam isu Pantai Telok Kemang, Port Dickson yang dipenuhi khemah sewaan.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, pihaknya mengambil maklum mengenai terdapatnya rungutan orang ramai ekoran banyak khemah sewaan yang dipasang sepanjang pantai itu sehingga mengganggu kehadiran pengunjung lain.
Panduan sudah diberi dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebelum ini telah membuat makluman serta berbincang dengan pengusaha khemah sewaan tersebut.
"Tapi saya ingin tegaskan disini bahawa selepas ini Kerajaan Negeri bersama MPPD akan bertegas tentang apa yang telah kita bincangkan. Mungkin tempoh hari dalam suasana cuti petugas-petugas kita pun tidak cukup untuk menguatkuasakan peraturan tersebut jadi kita rasa selepas ini kita mengambil perhatian serius tentang perkara ini kita tidak ingin kawasan pantai dijadikan kawasan perkhemahan,"kata Aminuddin di sini.
Selepas ini katanya, Kerajaan Negeri dan MPPD akan bertindak lebih tegas dan memastikan syarat yang ditetapkan kepada pengusaha khemah tersebut dapat dipatuhi.