MELAKA, 4 Februari - Langkah awal yang dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dengan kerjasama Jabatan kesihatan negeri (JKN), berjaya mengawal kes Covid-19 yang berlaku di sekolah-sekolah negeri itu.
Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka Datuk Rais Yasin berkata, ia termasuk tindakan mengasingkan pelajar yang positif Covid-19 dan mengisolasikan kontak rapat serta melakukan sanitasi segera terhadap sekolah terlibat.
"Mengenai arahan penutupan sesi persekolahan secara bersemuka, ia bergantung kepada penilaian risiko yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah. Namun JPN sentiasa bersedia dengan sebarang arahan dan saranan yang diberi berhubung perkara itu," kata Rais dalam satu kenyataan.
Sementara itu katanya, bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang positif Covid-19 dan masih menjalani kuarantin hingga 8 Februari mereka perlu menangguhkan dan akan menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu pada sidang ke-dua bulan April 2022.
Tarikh peperiksaan akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Setakat semalam seramai 309 pelajar di Melaka telah dikuarantin akibat positif Covid-19.