fb fb fb fb fb

Pengusaha institut memandu perlu tingkatkan aspek keselamatan kenderaan

ARAU, 15 Mac- Pengusaha institut memandu di Perlis diarah untuk mempertingkatkan elemen keselamatan kenderaan yang digunakan untuk melatih pemandu baharu.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, ianya melibatkan tiga buah institut latihan memandu iaitu Ilmu Pandu Sdn Bhd, Institut Memandu IKMP Perlis dan Akademi Memandu Mega Maju Sdn Bhd.

Beliau memaklumkanya ketika menyertai Operasi Khas Kenderaan Institut Memandu atau OPS OKIM di Institut Memandu Mega Maju di Pauh Putra.

Dalam operasi khas tersebut, sebanyak 12 buah motosikal milik institut memandu tersebut telah diperiksa.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak lapan buah motosikal mengalami masalah teknikal berkaitan sistem brek dan bunga tayar yang hampir haus atau tayar motosikal yang tidak sesuai digunakan untuk tujuan latihan pemanduan.

(Foto fail)

Selain motosikal, sebanyak lima buah kereta milik institut memandu itu turut diperiksa dan didapati memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak JPJ.

Semua pengajar institut memandu turut diingatkan agar sentiasa menjalankan tugas dengan penuh integriti dan mengajar pelajar memandu dengan penuh keikhlasan supaya dapat melahirkan para pemandu yang berhemah.

Media Baharu