
POKOK SENA, 12 Januari – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan melaksanakan pengurusan sisa pepejal lebih tersusun dan efisien di desa perkampungan agensi itu di Kedah.
- Memohon peruntukan membina pusat pengumpulan sampah di setiap perkampungan KEDA untuk pengurusan sisa pepejal lebih tersusun.
- Mengatur jadual pengambilan harian dan rundingan dengan syarikat pengendali untuk kutipan sisa pepejal efisien.
- Melaksanakan 10 rumah sampah tahun ini dan membayar perkhidmatan melalui kutipan muafakat penduduk pada kadar minimum.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agensi itu akan memohon peruntukan bagi membina pusat pengumpulan sampah di setiap perkampungan KEDA.
“Kita sedang berunding dengan syarikat pengendali sampah mengenai jadual pengambilan setiap hari. Bagi projek rumah sampah pula, ia melibatkan kos tertentu.
“Kita juga meminta pejabat untuk membantu menanggung sebahagian daripada kos tersebut. Untuk tahun ini, sebanyak 10 rumah sampah akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pusat Pengumpulan Sisa Pepejal (SPIKE) di Desa KEDA Bendang Perang di sini.
Selain itu pihaknya juga akan berunding dengan sebuah syarikat berkaitan pengurusan sisa pepejal bagi menguruskan kutipan sisa pepejal tersebut.
Sehingga kini terdapat 20 daripada 56 perkampungan KEDA telah melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal berkenaan sehingga 2027.
Bayaran kepada syarikat yang memungut sisa pepejal itu nanti akan dibayar melalui kutipan muafakat penduduk setempat pada kadar yang paling minimum.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan pada lawatan ke atas penduduk yang kurang berkemampuan dan individu yang sakit di Desa KEDA Bendang Perang.