fb fb fb fb fb

Pengurusan pekerja asing Indonesia akan terus ditambah baik- Saifuddin

(Saifuddin bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia,
Ida Fauziyah /FB Saifuddin Nasution Ismail)

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Malaysia akan menambah baik pengurusan pekerja asing Indonesia di negara ini khususnya berkaitan pengurusan penggajian.

Jaminan itu diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi pengurangan tempoh masa dan kosmigrasi serta mengoptimumkan penggunaan teknologi pendigitalan bagi tujuan integrasi sistem dan memudah cara pemantauan pekerja asing.

"Saya telah menerangkan tentang perubahan dasar di Malaysia berkenaan pekerja asing merujuk kepada penjajaran pengurusan pekerja asing. Ini termasuklah penerangan tentang Pelan Kelonggaran Penggajian PekerjaAsing dan pelanjutan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 yang akan mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal untuk memacu pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah dalam rangka lawatan kerja kementeriannya ke Indonesia.

Pertemuan ditunjangi oleh komitmen pucuk pimpinan kedua-dua negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di Malaysia sentiasa dilindungi pada setiap masa.

Di samping itu, perbincangan turut menyentuh perihal penguatkuasaan undang-undang imigresen danperburuhan melibatkan pekerja Indonesia, pengurusanpenghantaran pulang banduan dan tahanan imigresen serta tindakan penyelarasan bagi meminimumkan risiko pekerja asing daripada diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

" Perihal kerjasama keimigresenan dan kawalan sempadan turut dibincang bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan kedua-dua negara dapat direncanakan dengan baik. Lawatan itu juga merekodkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama merentasi portfolio kementerian-kementerian tertentu," katanya.

Pertemuan kedua-dua menteri menyusuli pertemuan antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, awal bulan ini.

Dalam lawatan kerja singkat ke Indonesia, Saifuddin juga bertemu dengan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Prof Dr. Yasonna H Laoly serta Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian.


(Saifuddin turut bertemu Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Republik Indonesia,
Prof. Dr. Yasonna H. Laoly/ FB Saifuddin Nasution Ismail)

Media Baharu