BALIK PULAU, 13 September- Keringat bekas anggota ATM dan pasukan keselamatan yang mencurahkan bakti dan jasa kepada negara diiktiraf sempena Hari Malaysia.
Usaha menjaga keamanan dan kesejahteraan negara selama ini tidak dilupakan anggota masyarakat.
Terbaru, Persatuan Kebajikan Pengedaran Makanan Pulau Pinang (APD) meraikan bekas anggota ATM, polis dan individu yang banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk negara.
Hampir 50 anggota ini serta ibu tunggal dan wakil beberapa persatuan kebajikan diraikan di Titi Teras, di sini dalam program Karnival Sambutan Hari Malaysia anjuran persatuan itu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Pulau Pinang.
Persatuan ini menyediakan pakej makanan kepada golongan daif untuk meneruskan hidup atau terkesan dengan tekanan lain.
Program Karnival Sambutan Hari Malaysia di Titi Teras
Makanan akan dihantar terus ke rumah golongan ini dan ia meliputi pelbagai jenis anggota masyarakat di seluruh negeri Pulau Pinang.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Adun Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim dan Mohd Mazlan Hashim, Penolong Pendaftar dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Pulau Pinang.