fb fb fb fb fb

Gaduh penyewa dan tuan rumah tular di Pasir Mas selesai cara baik

(Tangkap layar video pergaduhan di Pasir Mas yang tular di media sosial)

PASIR MAS, 13 September- Polis Kelantan telah memanggil dua individu bagi memberi keterangan dan menyelesaikan pertikaian susulan tular satu rakaman video berdurasi 17 saat yang dimuat naik di sosial media Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Nasaruddin Md Nasir berkata, hasil siasatan, kejadian tersebut berlaku di hadapan JNT Lemal, Pasir Mas Ahad lalu.

Siasatan lanjut mendapati kejadian itu berpunca daripada pertikaian kenaikan sewa rumah antara pemilik rumah dan pihak penyewa.

Beliau berkata, penyewa telah berjanji untuk menyerahkan kunci rumah pada hari kejadian namun gagal berbuat demikian menyebabkan berlaku pertikaian dan pergelutan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh kedua-dua belah pihak.

Dari hasil perbincangan kedua-dua belah pihak mengakui kesilapan masing-masing dan tidak berhasrat untuk meneruskan kes serta mahu menyelesaikan secara baik.

ACP Nasaruddin menasihati orang ramai supaya tidak mudah menyebarkan sebrang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham berlaku.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


(Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Nasaruddin Md Nasir)

Media Baharu