VIENTIANE, 13 September- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mampu terus kekal relevan sebagai sebuah universiti teknikal kerana mempunyai jalinan kolaborasi kukuh dengan universiti lain di peringkat antarabangsa, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
"UniMAP terus relevan melalui kolaborasi penyelidikan dan juga perkongsian inovasi bersama-sama dengan industri dan komuniti.
"UniMAP akan terus memberikan impak positif dalam menerokai dunia kini yang tidak bersempadan," titah baginda ketika mengadakan kunjungan ke Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos sempena Program Jalinan Ilmu ke-16 UniMAP hari ini.
Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Pendidikan dan Sukan Laos Profesor Madya Dr Phout Simmalavong (he).
Turut hadir Duta Besar Malaysia di Laos Mohd Aini Atan dan Naib canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli.
Baginda yang juga Canselor UniMAP berharap usaha dan komitmen yang ditunjukkan sehingga kini dapat memperkukuhkan ikatan hubungan antara Malaysia dan Laos.
Antara yang hadir ke Program Jalinan Ilmu ke-16 UniMAP
Titah baginda terrdapat dua elemen utama dalam penyelidikan berkualiti di UniMAP iaitu ‘hasil’ (output) dan ‘kesan’ (outcome).
"UniMAP mengutamakan ‘impak’ atau ‘kejayaan’ sesuatu penyelidikan yang akan memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat sejagat secara amnya," titah baginda.