CYBERJAYA, 31 Mei- Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan yang dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah World Summit On The Information Society Prizes 2024 (WSIS 2024) di Geneva, Switzerland adalah satu penghargaan buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkasa keterangkuman digital untuk masyarakat itu.
Anugerah WSIS tersebut disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2024 yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland dari 27 hingga 31 Mei ini.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, anugerah berkenaan telah mengiktiraf inisiatif pihaknya yang berjaya memperkasakan komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan dengan mempromosikan amalan-amalan lestari melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Inisiatif ini telah secara signifikan meningkatkan keyakinan masyarakat Orang Asli dalam penggunaan ICT yang selamat serta membolehkan akses kepada sumber dan peluang.
"Hal ini juga merupakan bukti dedikasi MCMC terhadap kemampanan dan kemasukan digital. Pengiktirafan ini bukan sahaja menyerlahkan usaha MCMC tetapi juga menggalakkan lagi untuk terus memacu inisiatif ICT kepada komuniti yang kurang bernasib baik," menurut kenyataan.
Tambah kenyataan itu, kejayaan inisiatif MCMC meraih Anugerah WSIS itu juga membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang dibangunkan oleh pihaknya.
Hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; EXCO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli; Pengarah JAKOA Negeri Sembilan dan Melaka, Puan Shahrani Idderis, Wakil Negeri Sembilan, Encik Hasan Sarat dan wakil-wakil SKMM yang lain.