SEREMBAN, 31 Mei- Pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat reaksi gembira dan teruja golongan sasar.
Kru RTM turun padang mendapatkan reaksi penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban 3.
"Sejujurnya, saya rasa amat bersyukur sebagai seorang pelajar. Buku rujukan di peringkat universiti ini agak mahal. Sebuah buku pun sudah mencecah RM50 ke RM80. Maka, dengan pemberian baucar RM100 ini sangat membantulah," kata Nur Wafa Wardina Baharin.
"Baucar ini saya rasa dapat meringankan beban pelajar untuk membeli buku dan bahan pembelajaran yang diperlukan. Rasa amat beruntung dengan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pembelajaran di Malaysia," kata Mohamad Aiman Hakim Mohamad Nizam.
"Saya harap inisiatif yang dilaksana ini akan berterusan kerana baucar yang diberi sebenarnya adalah keinginan para pelajar. Sangat membantu para pelajar, mereka tidak perlu menyimpan duit untuk membeli buku yang mereka mahu. Selain itu, saya yakin bahawa penggunaannya akan diguna sebaik mungkin," kata Nur Adilah.
"Saya harap inisiatif ini tidak dilakukan untuk jangka masa pendek, malah ia perlu demi kelangsungan pelajar-pelajar menimba ilmu untuk tahun mendatang. Untuk generasi Malaysia yang seterusnya. Bantuan baucar buku ini dapat meringankan beban para pelajar khususnya daripada latar belakang keluarga B40," kata Mohamad Noor Izzudin Zailan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada pelajar sekolah dan penuntut Insitut Pengajian Tinggi (IPT) untuk digunakan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung hingga Ahad ini.