fb fb fb fb fb

Sabah terima peruntukan RM16 bilion tahun ini

Foto facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

PENAMPANG, 31 Mei- Sabah menerima peruntukan sebanyak RM16 bilion pada tahun ini, berbanding RM12.9 bilion pada tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka itu telah melepasi jumlah 40% hasil yang dituntut Kerajaan Negeri Sabah.

"Sejak saya jadi Perdana Menteri, berbanding dengan keadaan sebelumnya, tahun 2022, peruntukan keseluruhan untuk Sabah, RM12.9 bilion. Tahun 2024, saya tambah jadi RM16 bilion untuk negeri Sabah.

"Jadi orang-orang yang menyerang kita harus ingat...betul, kita masih belum putus soal 40%, tetapi sudah lihat RM16 bilion ini jauh melebihi angka 40% yang dijanjikan itu.

"Jadi harus lihat keseluruhannya, boleh buat tuntutan, boleh lihat perjanjian dan beberapa peruntukan terutamanya disepakati, tetapi jangan nafikan kerana saudara boleh dengar RM16 bilion sudah senang, tetapi bila saya ke Pulau Pinang, Pahang, saya ke Johor mereka akan tanya.... saya boleh jawab, sebab saya kata infrastruktur, soal kawasan dan pelbagai tetapi saya nak maklumkan kita perlu satu hati muafakat dan faham bahawa beberapa program ini harus dilakukan secara berperingkat", katanya.

Datuk Seri Anwar berucap ketika merasmikan Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan di Penampang, Sabah.

Sementara itu, pemimpin dan rakyat negeri Sabah menyambut baik peruntukan besar yang disalurkan kepada negeri Sabah.

"Kita amat berterima kasih jika RM 16 bilion lebih daripada apa yang kita dapat sekarang. Sangat membantu, syukur", kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

"Melalui ucapan dari Perdana Menteri (PM) sebentar tadi saya sangat bersetuju dengan ucapan beliau. Saya ingin mewakili orang Sabah, saya ingin berterima kasih kepada PM kerana telah membantu orang Sabah", ujar Aaron Ryandell Oilon.

"Saya sebagai warga rakyat negeri Sabah amat berterima kasih kepada PM kita dengan ucapan ataupun berita baik yang diberikan oleh PM kita sebentar tadi. Pastinya berita baik yang dikemukakan oleh PM akan membantu menambah baik pembangunan di negeri Sabah", kata Emmanuel Gerald Justin.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada PM kita diatas pengumuman beliau sebentar tadi berkenaan dengan peruntukan yang diumumkan sangat-sangat begitu baik sekali dan kami sangat berterima kasih kepada PM kita", kata Donna Masidah ketika ditemui pemberita di sini.

ROSLINA BINTI DIN