KUALA LUMPUR, 3 Jun- Pengiktirafan Perancis terhadap kedaulatan Malaysia bakal memberi impak besar khasnya dalam isu tuntutan wilayah serta pertikaian sempadan antarabangsa.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Dr Mazlan Che Soh berkata pengiktirafan itu mampu memperkukuh peranan Malaysia-Perancis menerusi platform pelbagai hala dalam memastikan kestabilan dan keselamatan rantau ini.
(Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan
Pengajian Polisi UiTM, Dr Mazlan Che Soh)
Beliau berkata ia merupakan sokongan moral yang sangat tinggi kepada Malaysia untuk meneruskan penyelesaian secara damai dengan pihak yang menuntut wilayah yang berkenaan.
"Tentu sekali sokongan Perancis ini akan dapat memberikan sokongan diplomatik kepada Malaysia khususnya untuk mencari satu kaedah terbaik bagi satu penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi kepentingan semua pihak yang terlibat", katanya kepada RTM.
Katanya, selain dialog dan rundingan, penyelesaian berbentuk jangka panjang perlu diambil kira bagi mencapai kesepakatan bersama dan memuaskan hati semua pihak.
"Apapun saya berharap Malaysia akan dapat melaksanakan apa juga isu tentang sempadan ini dengan cara berhemah dan terus menggalakkan dialog dan rundingan dan usaha-usaha yang hendak dicapai itu hendaklah melibatkan penyelesaian yang berbentuk jangka panjang dan memuaskan hati semua pihak", katanya.