KUALA LUMPUR, 3 Jun- Kementerian Luar menyambut baik kenyataan lisan dan bertulis oleh Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis, Catherine Colonna berhubung pendirian rasmi Kerajaan Perancis yang menyokong penuh kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataannya berkata, kenyataan itu dapat menyangkal percubaan mana-mana pihak yang cuba mencabar dan menafikan kedaulatan Malaysia.
(Pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan
Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis, Catherine Colonna)
Beliau berkata pertemuan bersama Catherine semalam turut menilai kemajuan kerjasama sedia ada dan meneroka potensi kolaborasi baharu yang lebih komprehensif.
Pertemuan itu juga bersetuju agar interaksi dan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan, kesihatan dan pelbagai perlu terus dipertingkatkan.
Turut dibincangkan mengenai usaha bersama dalam menangani isu serantau dan antarabangsa terutama komitmen Perancis dalam meningkatkan lagi kerjasama pembangunan dengan ASEAN serta situasi yang membimbangkan di Myanmar.
Beliau dan Catherine juga menyatakan sokongan terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan inklusif demi kemakmuran perdagangan dan perniagaan.
Kesimpulannya, lawatan kerja ke Paris berjaya meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara serta pada masa sama memastikan kepentingan dan kedaulatan negara terus terpelihara.