
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Penggunaan teknologi meter pintar dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) berpotensi besar mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) atau kehilangan air terawat pada masa hadapan.
- NRW disebabkan kebocoran paip, kecurian air, infrastruktur usang, manipulasi meter dan pencemaran sumber air.
- AI dan pemantauan automatik membantu mengesan kebocoran, meramal lokasi serta mempercepat tindakan penyelenggaraan proaktif.
- Penambahbaikan infrastruktur mahal; RMK13 dan Pelan Transformasi Air 2040 diperlukan, manakala NRW sifar sukar dicapai.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi & Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, NRW merujuk kepada kehilangan air bersih akibat pelbagai faktor seperti kebocoran paip, kecurian air, infrastruktur usang, manipulasi meter serta pencemaran sumber air.
Menurut beliau, penggunaan AI menjadi antara inisiatif pemantauan NRW lebih baik terutama bagi mengesan kebocoran dan juga mengenal pasti sekiranya berlaku penggunaan luar biasa dengan lebih cepat, berbanding dengan kawal selia yang digunakan secara manual.
“Berbanding dengan kawal selia yang kita gunakan secara manual dan saya juga melihat melalui penggunaan AI misalnya dan juga smart metering ini meramal lokasi kebocoran dengan lebih efektif dan dalam masa yang sama juga memudahkan penyelenggaraan secara proaktif.
“Ini salah satu benda yang saya lihat peranan teknologi yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh agensi-agensi atau swasta, bila kita bercerita tentang peranan teknologi dari segi kecekapan penyelarasan operasi dan juga mengurangkan kebergantungan pemeriksaan secara manual,” katanya kepada RTM, hari ini.
NRW kekal tinggi di beberapa negeri di mana dari tahun 2017 hingga 2024, Perlis mencatat kehilangan tertinggi, melebihi 60 peratus secara konsisten. Pada 2024, Kelantan dan Kedah melebihi 50 peratus, manakala Pahang dan Terengganu melebihi 40 peratus.
Kerajaan bagaimana pun sedang menggandakan usaha bagi menaik taraf sistem, memperkukuh pemantauan dan mengurangkan kadar NRW demi memastikan setiap titisan air sampai kepada rakyat.
Dr. Umi Hamidaton berkata, penambahbaikan infrastruktur, termasuk penggantian paip usang, memerlukan kos yang tinggi serta perancangan jangka panjang dan pelaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 dilihat penting bagi memastikan pengurusan air negara menjadi lebih mampan.
Namun, sasaran untuk mencapai NRW sifar adalah sukar direalisasikan dalam konteks operasi sebenar kerana faktor teknikal dan kekangan infrastruktur yang berada di luar kawalan sepenuhnya.
Secara teori, NRW sifar mungkin boleh dicapai, tetapi dari segi praktikal, setiap sistem bekalan air pasti berdepan dengan kehilangan tertentu, matlamat lebih realistik adalah mencapai tahap optimum dan mengurangkan kehilangan secara berterusan.