(Dr Zaliha Mustafa)
PUTRAJAYA, 4 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Teras 1 Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah media, bagi memantapkan promosi membudaya amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata satu kelainan dilakukan dalam menyampaikan mesej tersebut melalui penerbitan sitkom yang mampu mencorak daya fikir masyarakat.
"Ini satu pendekatan baharu dan saya harap ia bukan sahaja dapat menimbulkan minat orang terhadap kesihatan, bahkan juga menyampaikan agenda kesihatan secara santai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat, di sini pada Rabu.
Acong Sweetchild, Nadia Mustafa, Liza Abdullah dan Jasmin Hamid antara pelakon yang membintangi sitkom lapan episod berkenaan.
Ia bakal ditayangkan di RTM TV1 setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.30 malam bermula 8 Mei ini.
(Foto Bernama)