(Mayat mangsa yang tertimbus tanah runtuh di Taman Seputeh,
Kuala Lumpur/JBPM KL)
KUALA LUMPUR, 4 Mei- Seorang pengawal keselamatan ditemukan maut dalam timbusan tanah runtuh di Taman Seputeh dekat sini, tengah malam tadi.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Seputeh, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Peyelamat Malaysia (STORM), dan Unit Anjing Pengesan (K9) bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada pukul 12.54 tengah malam.
Menurut Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II, Mohd Rizuan Razali, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati berlaku runtuhan tanah dan menghempap sebuah pondok pengawal yang berada berhampiran.
"Runtuhan tersebut telah melibatkan seorang mangsa lelaki dewasa yang merupakan pengawal keselamatan tertimbus di bawah runtuhan tanah tersebut.
"Mangsa berjaya dibawa keluar pada pukul 6.23 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik," menurut kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi pencarian turut dibantu oleh anggota PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
(Unit Anjing Pengesan (K9) membantu mencari mangsa tanah runtuh
di Taman Seputeh, Kuala Lumpur/JBPM KL)