KUALA LUMPUR, 28 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di enam negeri mencatatkan peningkatan kepada 37,189 setakat pukul 9.32 pagi tadi melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 11,385 keluarga terjejas. Sebanyak 322 pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di enam negeri terlibat.
"Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengerakkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera, agensi persekutuan dan negeri nak pastikan keselamatan dan kebajikan.
Penduduk terkesan menjadi keutamaan sepanjang tempoh monsun timur laut bermula November 2024 hingga Mac 2025, " kata Anwar.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika memulakan sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Kelantan merekodkan jumlah tertinggi penduduk terjejas dengan 30,582 orang melibatkan 9,223 keluarga. Sebanyak 157 PPS dibuka di sembilan daerah di negeri itu.