fb fb fb fb fb

Penduduk Teluk Bahang teruskan tradisi 'Gerak Sahur'

(Sekumpulan anak muda menaiki motosikal dan menyelusuri semua
jalan kampung, memukul gendang dan melaungkan 'sahur')

TELUK BAHANG, 27 Mac- Sejak lima tahun lalu, tradisi kejut sahur di Teluk Bahang masih lagi diteruskan.

Gendang bertalu-talu hampir sejam merupakan aktiviti tradisi anak muda sepanjang bulan Ramadhan untuk mengejutkan penduduk di Teluk Bahang untuk bangun bersahur.

Pagi yang hening di kawasan sekitar bertukar riuh apabila hampir 80 anak muda menaiki motosikal dan menyelusuri semua jalan kampung.

Tradisi tersebut masih kekal di Teluk Bahang walaupun aktiviti amal ini terhenti seketika ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Bagi peserta, peluang menyertai skuad kejut sahur disifatkan amat berharga dan pada masa sama dapat sama-sama memeriahkan sambutan Ramadan

"Semua amat gembira la dapat berkumpul ramai ramai satu hati untuk gerak orang kampung teluk bahang ni untuk bangun sahur,"kata Mohd Fain Farin Jalani.

Sementara itu, penduduk kampung turut menyambut baik program sedemikian diadakan di kawasan tersebut dan berharap tradisi itu dapat dikekalkan.

"Kalau dapat dikekalkan, memang semangat sahur di bulan puasa tu juga kekal,"kata Haslina Yaakob. 

Paluan alat muzik tradisional yang dimainkan kumpulan Team Gerak Sahur itu dapat didengari seawal pukul 4.00 pagi tatkala mereka berarak ke setiap lorong di perkampungan itu.

"Kami mula buat gerak sahur ni bermula daripada 2018 sehingga lima tahun, ini kali kelima kita buat bulan pusing kampung dan kita hendak kejut orang bangun sahur.

"Banyak lorong yang kita boleh masuk dalam kampung, lorong kecil guna motor dan kadang-kadang kita jalan kaki masuk lorong-lorong kecil,"kata Ketua Pasukan Gerak Sahur, Mohd Ali Abdul Jabbar.

Pada zaman dulu, permainan gendang raya bukan hanya untuk bersahur, tetapi juga membabitkan hebahan kematian penduduk dan penanda masuknya hari Jumaat.


(Ketua Pasukan Gerak Sahur, Mohd Ali Abdul Jabbar)

Media Baharu